Selasa, 8 Mac 2011

Bagaimana menjadi "penggilap" alih suara

Sebelum saya mula, diingatkan bahawa saya bukan orang lama dalam bidang penterjemahan alih suara kartun/rancangan asing; mungkin ada sesetengah fakta yang saya tidak perikan dengan tepat atau terperinci.

Pada Oktober lepas, ada seorang taulan saya menjemput saya untuk membuat percubaan sulung saya berkerja sebagai penterjemah dan penggilap (polisher) untuk pengalihan suara kartun ke bahasa Malaysia untuk siaran TV. Maklumlah, majoriti bahan yang dialih suara ke BM ni bahasa asalnya Inggeris, walaupun kerajaan menekankan kepentingan BI untuk ekonomi tapi kita kenalah berwaspada dengan pengaruh budayanya. Tengok apa yang jadi sekarang, bahasa rojak di merata tempat, sampai pemimpin negara pun cenderung berbahasa rojak ketika berucap di depan media!

Apatah lagi, kalau bergantung pada anime Jepun saja tak bagus, anime ni lebih banyak unsur-unsur yang bercanggah dengan norma masyarakat kita berbanding dengan kartun Barat yang teliti memaparkan nilai-nilai sejagat. (Haa...saya pun nak berbual panjang pasal anime, tapi buah fikiran ni saya simpan untuk lain hari).

Jadi saya nak tunjukkan pembaca cara untuk membuat penterjemahan dan penggilapan alih suara. Mula-mula, kita kena ada bahan-bahan berikut:
  • Video yang ada kod masa (time code) yang jelas
  • Transkrip asal
  • Perisian pemproses kata (seperti Microsoft Word dsb.)
Selalunya, kod masa yang harus diikuti bukan dalam kaunter pemain media, tapi dalam visual tu sendiri, kerana kod masa dalam visual ni berdasarkan pita induk (master tape) yang digunakan dan disimpan di dalam studio untuk kegunaan rakaman suara saja, tak boleh dibawa keluar ya. Kod masa inilah yang akan membantu pengalih suara merakam suaranya tepat pada masanya.

Transkrip asal ni memanglah dialog dalam bahasa asal, dan sewajarnya disertakan kod masa untuk setiap dialog. Kalau tak ada, penggilap terpaksa memerhati kod masa dengan teliti, kemudian menjedakan atau memegunkan (pause) video itu berkali-kali untuk mencatat setepat-tepatnya kod masa permulaan dan setiap satu ayat yang disebut dalam audio asal. Kadang-kadang transkrip memakai tajuk yang berlainan dari program sebenar atas kehendak pengeluar merahsiakan maklumat dari orang awam.

Microsoft Word tu tak payah sebut banyak, kena bentangkan dialog terjemahan dalam bentuk jadual supaya kemas, semua ni anda dah agak.

Dengan semua bahan-bahan ni barulah penterjemah bermula membuat penterjemahan sebaris demi sebaris dialog. Videonya diperlukan untuk memahami konteks cerita supaya terjemahannya lebih tepat, tapi adakalanya lepas membuat penterjemahan barulah boleh dapat videonya untuk proses penggilapan. Tapi berjaga-jaga, dialog dalam transkrip mungkin ada sedikit perbezaan dengan dialog dalam produk akhir, misalnya ada dialog yang ditambah atau digugurkan dalam proses pascapenerbitan (post-production).

Sudah habiskan terjemahan, dapat videonya, barulah boleh buat penggilapan. Proses penggilapan nilah yang paling memakan masa, sampai penggilap yang berpengalaman pun memakan masa satu hari untuk siapkan satu episod setengah jam. Ini adalah kerana anda perlu beberapa kali memegunkan dan menyeret balik petunjuk mainan video (playback indicator) tu kepada detik yang mana watak itu membuka mulutnya untuk bersuara setiap kali ini berlaku sepanjang video, berkali-kali banyaknya tu. Perbualan 'luar skrin' (off-screen), iaitu mulut watak tidak kelihatan atau sekadar suara latar pencerita (narrator), juga kena dijaga supaya pengalih suara tidak terlalu awal atau lambat bersuara.
Tampilan ini diambil untuk tujuan mendidik sahaja, tiada niat untuk mencabuli hak cipta.
This screenshot is taken for educational purposes only; no copyright infringement intended.

Berbalik kepada transkrip alih suara pula: penggilap diminta menggunakan simbol-simbol khas atau format huruf untuk membimbing pengalih suara untuk membuat rakaman dialog dengan setepatnya. Dari apa yang saya tahu:
  • penggunaan tanda baca lain sikit dari penggunaan yang betul dalam bersurat, yang mana tanda koma (,) menandakan putusan (break) yang singkat dalam dialog; putusan di tengah perkataan ditandai sempang (-), cth. "Ce-pat-lah!"
  • simbol garis miring (/) digunakan untuk menandakan hentian (pause, yang lebih lama sikit dari putusan) di tengah dialog, tak lupa juga dua garis miring (//) untuk hentian yang lebih lama sikit
  • apabila watak itu tercungap-cungap sambil berdialog, tandakan tanda bersamaan (=) pada bahagian bercungap itu
  • tanda positif (+) menandakan berkata-kata sambil tertawa, negatif () untuk berkata-kata sambil menangis. Boleh juga bubuh butiran untuk emosi-emosi lain seperti (marah), (takut) dsb, tapi selalunya pengalih suara dibimbing oleh pengarahnya dalam hal ni.
  • tanda (O) atau (O/S) digunakan untuk menandakan mulut watak terkeluar dari paparan skrin (off-screen) di awal atau tengah-tengah dialog. Bila mulut tu masuk balik ke dalam paparan (on-screen) tak perlu apa-apa tanda, tapi bergantung pada keadaan dialognya. Mungkin anda kena pecahkan bahagian dialog itu kepada beberapa bahagian dengan kod masa masing-masing untuk memudahkan kru alih suara.
  • nyatakan "(ad lib)" untuk ujaran folei suara (vocal foley), cth "Ha ha ha…", "Aaarghh!"
  • gunakan format huruf tebal (bold) atau HURUF BESAR untuk menandakan bahagian menjerit/memekik. Panjangkan perkataan dengan mengulang-ulang huruf vokal apabila perlu, cth. "Haaaloooooooo…"
Dan penting sekali, pastikan suku katanya cukup! Saya pernah ditegur pasal ni waktu saya mula-mula membuat kerja penggilapan ni. Untuk bahan yang asalnya berbahasa Inggeris, disarankan nisbah 2 suku kata BM untuk 1 suku kata BI. Bukan sahaja ketepatan terjemahannya dikehendaki, malah dialognya mesti cukup suku katanya untuk mengisi sepanjang tempoh watak membuka mulutnya untuk berbual. Ini boleh dicapai dengan menggunakan kata-kata pengisi (filler) di akhir ayat atau kata-kata tertentu, seperti "lah kan", "ya", "tahu tak", "punya" dsb, asalkan penggunaannya tepat dan tidak menjejaskan erti dialoh. Contohnya: "Ini bukan buat sari kata, tahu tak?" (Ha ha ha…) Kalau terlalu panjang tak apa, ini akan diuruskan oleh pengarah alih suara nanti.

Satu lagi yang anda harus ingat: saya bukan pengalih suara (dubber) lagi, jadi saya tak berasa layak untuk memberikan petua-petua menjadi pengalih suara yang berkualiti tinggi selagi saya tak mencubanya sendiri.
Semoga anda mendapat manfaat daripada apa yang si penulis terangkan di atas tadi, jika anda berazam untuk meningkatkan mutu bidang alih suara Malaysia suatu hari nanti.

Oh ya! Saya nak tunjukkan satu kumpulan pengalih suara tempatan di Facebook: "Dubbers Inc. Malaysia."  Di sinilah kita boleh bersoal jawab dengan para penggiat alih suara pasal isu-isu berkenaan hal-ehwal, mutu alih suara tempatan dsb. Kini, ia dianggotai oleh lebih 200 orang yang sedang, pernah atau bakal bergiat dalam bidang alih suara di seluruh Malaysia. Tunggu apa lagi? Jom!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan