Selasa, 25 Disember 2012

Isu penguasaan bahasa Inggeris bukan setakat di Malaysia

Baru-baru ini, keluarnya keputusan TIMSS 2011 yang menguji kemahiran matematik dan sains di kalangan pelajar di seluruh dunia, termasuk Malaysia yang menaruh harapan pada pelajar Tingkatan Dua demi pencapaian terbaik. Sayang sekali, pencapaian anak-anak muda kita kian tahun kian merosot. Kalau tak percaya, tengok jadual ini!

Ranking
1999
2003
2007
2011
Matematik
16
10
20
26
Sains
22
20
21
32

Kalau tak percaya lagi, Google-lah sendiri TIMSS, baru lu tau.

Tentu ramai pihak yang mempersalahkan dasar PPSMI yang diadakan mulai tahun 2003 atas kemerosotan mendadak ini, rata-rata kerana penguasaan bahasa Inggeris yang teruk di kalangan pelajar kebanyakan yang menyukarkan pembelajaran mata-mata pelajaran ini yang diajarkan dalam 'bahasa antarabangsa' ini, sedangkan negara-negara serantau yang lain mengajar dalam bahasa ibunda tetapi jauh lebih cemerlang. Hujah mereka lagi, kecil-kecil belajar kira-kira dalam bahasa sendiri, belajar bahasa Inggeris secara berasingan, tapi masuk Harvard ke Cambridge ke cemerlang dapat ijazah sarjana!

Seperti yang pernah saya hujahkan suatu ketika dahulu, ekologi bahasa di Malaysia sungguh cacamarba. Orang luar bandar yang konservatif dengan bahasa ibunda bercanggahan dengan orang bandar yang mengagung-agungkan bahasa Inggeris. Orang luar bandar kalau hendak diajar bahasa Inggeris umpama kera mendapat bunga, begitu juga dengan ramai urbanite kaya-raya yang menyiarkan rencana yang kelihatan agak memandang rendah daya tahan bahasa kebangsaan dalam zaman pengglobalan dalam media bahasa Inggeris. Patutlah industri penterjemahan Malaysia mundur, kerana rata-rata mentaliti masyarakat Malaysia yang sungguh mengaibkan dalam hal bahasa!

Tapi kan... walaupun bermegah-megah dengan status bahasa antarabangsa dalam bidang-bidang yang tak terbilang, namun bahasa Inggeris merupakan satu bahasa yang agak sukar dikuasai khususnya oleh masyarakat Asia. Ini satu perkara yang telah saya sedar akhir-akhir ini. Tentu kita tahu betapa sukarnya bangsa-bangsa Cina, Jepun, Thai, Indonesia dsb menguasai BI. Sebabnya, tatabahasa Inggeris penuh dengan ketakteraturan, khususnya dalam ejaan dan kata kerja.

Contohnya: mengapakah terdapat ratusan kata kerja yang tidak berakhir dengan -ed dalam bentuk past tense (kala lampau) atau perfect tense (kala sempurna)? Kenapa tak ikut corak yang sama saja? Apasal sing boleh jadi sang dan sung, bukan singed, dan bring pula jadi brought, bukan bringed? Sila rujuk http://www.usingenglish.com/reference/irregular-verbs/ untuk senarai lengkap.

Lagi satu: mengapakah blood dan flood tak sama rima dengan brood, food, good, hood, mood, stood, dan wood? Kenapa pula one, done, gone dan none tak sama dengan bone, clone, cone, drone, hone, lone, prone, stone, dan tone?

Saya nak tanya guru bahasa Inggeris tak kira tingkatan yang membaca entri ini. Pernahkah cikgu melayan soalan-soalan sebegini daripada murid-murid? Dengan penguasaan BI yang lemah di kalangan masyarakat jelata, adalah sukar untuk menterjemahkan banyak bahan bacaan dari BI ke BM, apatah lagi yang berorientasikan kala lampau yang banyak perlu dihafaz, kerana adalah mustahil untuk menerangkan ketakteraturan kata-kata kerja berkenaan tanpa mendalami sejarah BI itu rasanya.

Bila kita nak belajar bahasa asing, kita selalu harapkan agar tatabahasa dan sebutan mudah untuk kita semua. Tapi lain pula bahasa Inggeris dan juga bahasa-bahasa Eropah pada umumnya. Kalau dibandingkan dengan kebanyakan tatabahasa Asia, tatabahasa Asia jauh lebih ringkas dan teratur! Contohnya dalam bahasa Jepun, bentuk kala lampau seragam-seragam belaka, mesti berakhir dengan -imashita (formal). Contohnya, taberu (makan) dan nomu (minum) ditukar kepada tabemashita dan nomimashita. Tak ada ubah-ubah sebut eja macam bahasa Inggeris (eat = ate/eaten, drink = drank/drunk).

Jadi tak hairanlah kalau satu usul untuk mewajibkan kelulusan dalam kertas BI SPM dibantah hebat oleh ramai pihak. Bukan mereka tak suka BI, cuma negara kekurangan sumber untuk mencemerlangkan murid-murid dalam matapelajaran tersebut. Dua pertiga guru sekolah seluruh Malaysia didapati sendiri tidak fasih dalam BI! Lagipun, sebarang usaha untuk mengayakan matapelajaran BI tentu akan menelan belanja besar tak kira apa jua caranya. Sebab itu Indonesia dikhabarkan menggugurkan BI dari sukatan pelajaran teras sekolah rendahnya.

Rasanya dalam zaman akan datang ini, status bahasa Inggeris sebagai bahasa dominan seantero dunia bakal tercabar habis-habisan oleh bahasa-bahasa lain terutamanya bahasa Asia sempena kebangkitan China, India dan Indonesia, diburukkan lagi dengan beban besar yang terasa dalam menguasai tatabahasanya di kalangan masyarakat bukan penutur asli (khususnya di Asia). India yang menjadikan BI sebagai bahasa rasmi pun tak mampu mengajar berjuta-juta penduduknya BI setelah puluhan tahun dikelubungi amalan rasuah sampai dana negara pun ciput.

Kini, saya sedang mengikuti kursus online bahasa Esperanto di lernu! Esperanto merupakan bahasa buatan yang direka pada akhir abad ke-19 untuk memudahkan komunikasi sesama pelbagai bangsa seperti yang diharapkan pada sesuatu lingua franca macam bahasa Inggeris sekarang. Kelebihan bahasa Esperanto berbanding bahasa Inggeris, Melayu atau Cina tak terbilang. (Bukan nak hina bahasa sesiapa tapi memang bahasa ini direka khas supaya lebih mudah daripada mana-mana bahasa lain di dunia) Semua kata kerja tak kira kala lampau, kini atau kelak pun sama saja coraknya - masing-masing manĝas, manĝis, manĝos; trinkas, trinkistrinkos dsb. Tak ada kelas Esperanto di sekolah pun tak apa, sebab bahasa ini dicipta khas untuk senang dan cepat dikuasai dengan hanya berbekalkan buku teks ataupun bermain!

Esperanto pernah mekar pada zaman antara Perang Dunia, tetapi merosot sewaktu Perang Dingin apabila pengaruh Amerika Syarikat menekan masyarakat dunia untuk menerima bahasa Inggeris. Kini dengan merosotnya pengaruh AS, diharap agar masyarakat dunia mempertimbangkan semula bahasa yang mana harus digunakan untuk komunikasi sesama mereka pada masa akan datang.

Haih...saya pun dengar cerita sari kata BM di TV percuma mahupun Astro kian merosot gara-gara penterjemah kurang faham konteks; macam yang saya kata tadi, penguasaan BI merosot, penguasaan BM pun tak tentu arah. Lebih baik pengedar filem dan TV menyediakan skrip dalam bahasa Esperanto dan (semua penterjemah kita pelajari bahasa itu) supaya terjemahan di kaca TV tampak lebih jitu dan bermutu.

In = Untuk?

Sekali lagi, kesibukan dengan kerja (dan juga masa cuti untuk melancong) sekali lagi menghalang saya daripada kerap memutakhirkan blog saya dengan kerap. Sungguh cepat masa beredar, sedar tak sedar tibanya hari Krismas. Selamat Hari Krismas diucapkan kepada mereka yang menyambutnya.

Baru-baru ini, saya telah menterjemahkan beberapa rencana tentang haiwan ke dalam Wikipedia Bahasa Melayu. Salah satu segi tatabahasa Inggeris yang sering saya temui dalam rencana-rencana sebegini, dan yang tidak wajar diterjemah bulat-bulat ke dalam Bahasa Melayu, ialah penggunaan in ketika menerangkan sifat atau ciri-ciri subjek.

Bagi saya, penggunaan "dalam" untuk menterjemahkan in dalam konteks ini janggal sekali kerana tidak semestinya dibincangkan apa yang terkandung di dalam hidupan, bahkan juga ciri luaran dan tabiatnya. Oleh itu, saya menggunakan kata sendi "untuk" atau "bagi" kerana saya rasakan ini lebih tepat menggambarkan apa yang hendak disampaikan oleh rencana asal.

Selain itu, kadang-kadang apabila terlihat istilah anterior dan posterior digunakan, saya mengelak daripada menyerap terus istilah-istilah itu ke dalam terjemahan, sebaliknya saya menggantinya dengan istilah jati "hadapan" dan "belakang" (walaupun terdapat perkataan "anterior" dan "posterior" dalam Kamus Dewan) supaya lebih mudah difahami oleh orang awam. Entahlah, tapi kadang-kadang saya tengok semua rencana BI yang serba lengkap tentang hidupan itu macam khusus untuk pakar dan mungkin sukar difahami oleh orang awam walaupun di kalangan orang Amerika dan British sendiri. Apa pendapat anda?

Harap-harap saya dapat lengkapkan rencana tentang Ular sebelum akhir Januari depan supaya ia terpampang sebagai rencana pilihan awal tahun 2013. Ya, baru anda tahu niat saya - setiap musim Tahun Baru Cina (diharap sampai 2021) tentu kena tampilkan rencana tentang haiwan zodiak masing-masing, barulah nampak meriah sikit Wikipedia BM.

Rabu, 12 September 2012

Teka lagu ini #2


Wanita yang mesra dan berbudi bahasa pada siang hari
Wanita bergaya yang mengerti nikmat waktu minum kopi
Wanita yang hatinya bertukar hangat pada malam hari
Wanita yang begitu cepat berubah

Aku lelaki
Lelaki yang semesramu pada siang hari
Lelaki yang meneguk kopi terus sebelum ia sejuk
Lelaki yang hatinya meletup pada malam hari
Lelaki yang sedemikian rupa

Pembayang:
  • Lagu ini menjadi kegilaan masa kini yang berasal dari Asia Timur
  • Kelarisan lagu ini jauh lebih jauh merebak ke seluruh dunia berbanding lagu-lagu popular lain yang sebahasa dengannya, sehingga banyak mencetuskan banyak lagu parodi yang mencelup muziknya bagai cendawan tumbuh selepas hujan

Teka lagu ini


Masa untuk rancakkan blog ini dengan popkuiz, meneka seni kata lagu yang diterjemah dari bahasa lain ke bahasa Melayu:

Adakah ini alam nyata atau sekadar khayalan?
Tertimbus dalam tanah runtuh, tak terlepas dari hakiki
Bukalah mata, dongak dan pandang langit
Aku budak kasihan, usah dikasihani
Kerna aku mudah dapat, mudah habis
Meninggi tidak, merendah pun tidak
Ke mana bertiupnya angin tiada erti bagiku

Pembayang:

  • Lagu ini keluar pada 1970-an; penyanyi utamanya sudah lama meninggal
  • Lagu ini pernah dirakam semula oleh sekumpulan boneka

Isnin, 3 September 2012

"beri" dan "berikan"

Nampaknya terdapat kemusykilan dalam penggunaan imbuhan bagi segelintir kata kerja bahasa kebangsaan yang sering dipakai, baik dalam perbualan mahupun persuratan seharian. Contohnya, bagaimana imbuhan "-kan" boleh digunakan untuk perkataan 'beri'?

Mula-mula, demi kemudahan, saya mengajarkan dua jenis 'objek' dalam tatabahasa terlebih dahulu, iaitu objek langsung dan objek tak langsung. Objek langsung ialah "Orang atau benda yang mengalami perbuatan kata kerja dalam ayat", sementara objek tak langsung ialah "Orang atau benda yang menerima objek langsung".

Mengikut ketetapan kamus-kamus DBP, "memberi" bermaksud "menyebabkan seseorang menerima sesuatu", iaitu harus diikuti oleh objek tak langsung, sedangkan "memberikan" bermaksud "menyerahkan sesuatu kepada", iaitu harus diikuti oleh objek langsung. Contoh penggunaan yang betul ialah "Dia memberi saya hadiah" dan "Dia memberikan hadiah kepada saya."

Oh, saya hampir lupa. Bentuk "memberi" ini sebenarnya merupakan bentuk imbuhan "meN...i" yang digugurkan akhiran "-i" kerana kata akarnya sudah berakhir dengan "i". Mesti ada di antara anda yang sedikit keliru, kan?



Kemusykilan 1: Habis, "beri muka" bagaimana pula?

"Beri muka" merupakan simpulan bahasa yang bermaksud memanjakan atau berlembut dengan seseorang yang terlanjur kata atau tidak hormat. Boleh dikatakan bahawa ungkapan "beri muka" merupakan satu kata kerja yang berbeza dengan "beri" itu sendiri, sama seperti "beritahu", "beri ingat" dsb.

Kemusykilan 2: "Beli" dan "belikan" pula? Bukankah "beli" diikuti objek langsung dan "belikan" diikuti objek tak langsung?

Susah sikit nak jelaskan. Pokoknya, "beli" hanya digunakan dengan satu jenis objek iaitu objek langsung, iaitu "membeli barang". Bagaimanapun, dalam tatabahasa BM terdapat objek tak langsung benefaktif (yang ditolong) dan kausatif (yang menyebab). Contohnya, "Dia membelikan saya hadiah" merupakan benefaktif kerana 'saya' ditolong, sedangkan "Dia memberi saya hadiah" merupakan kausatif kerana perbuatan memberi itu dibuat disebabkan 'saya'.

Jumaat, 24 Ogos 2012

Umur berapa baru remaja?

Sebelum rencana bermula, saya ingin ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin dan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-55 dan Hari Malaysia (ke-3 atau ke-49?)

Cepat sungguh 12 tahun berlalu setelah kita menyambut alaf ke-3 atau abad ke-21. Masa itu, saya masih di bangku sekolah menengah. (Walaupun alaf ke-3 sebenarnya bermula pada tahun 2001 dan bukan 2000 ... tak mengapalah.)

12 tahun? Baru saya sedar, budak-budak "millenium babies" yang lahir pada tahun 2000 sudah atau akan meningkat remaja. Yang perempuan sudah tumbuh payu dara dan datang bulan, yang lelaki pula nak pecah suara dan tumbuh misai. Aduhai, makin tua saya rasa menyedari hakikat ini!

Tak percaya? Perhatikan gambar minah ini.


Teka berapa umur gadis ni? Nampak macam remaja ... memanglah remaja. Kelahiran 8 Januari 2000, jadi inilah dia, Noah Cyrus (adik Miley Cyrus) yang berumur 12 tahun. Paras rupanya seakan-akan dewasa. Seksi tak?

Satu lagi, perhatikan betul-betul suara budak gemuk ni.


Kelahiran 25 Februari 2000, tapi Tucker Albrizzi yang berumur 12 tahun sudah bersuara garau.  Nasib baik pelakon saja; kalau penyanyi, susahlah.

Berbalik ke perenggan sebelum gambar Noah Cyrus tu – sudah atau akan? Inilah topik yang saya nak bincangkan dalam rencana kali ini. Apakah takrifan sebenar "remaja"? Adakah ia mengikut umur hayat dalam bilangan tahun, atau peringkat pertumbuhan badan manusia?

Dalam jiwa masyarakat berbahasa Inggeris, 12 tahun masih budak-budak, tapi 13 tahun barulah remaja. Sebabnya, 11 dan 12 disebut eleven dan twelve, tapi 13, 14, 15 sampai 19 semuanya berakhiran -teen. Maka terciptanya istilah teenager di Amerika Syarikat pada tahun 1950-an, kemudian diluaskan penggunaannya ke seluruh dunia berbahasa Inggeris untuk golongan berusia 13–19 tahun. Sebagai negara bekas jajahan Inggeris yang juga kuat terpengaruh oleh budaya pop Amerika, sesetengah orang Malaysia juga bertanggapan bahawa usia remaja bermula dengan 13 tahun, baligh ke tak baligh. Tapi kadang-kadang ada orang beranggapan bahawa 12 tahun dikira teen kerana sudah masuk sekolah menengah dan sudah memasuki tahun ke-13 dalam hayatnya (iaitu lebih daripada genap 12 tahun).

Dalam jiwa berbahasa Melayu, ataupun mengikut takrifan Kamus Dewan (Edisi Keempat), "remaja" bermaksud "mulai dewasa, sudah akil baligh, sudah cukup umur utk berkahwin". Ini berkenaan dengan sifat jasmani, bukan lingkungan usia dalam bilangan. Misalnya, seorang perempuan sembilan tahun dah tumbuh payu dara dan mampu lahirkan anak, sudah dikira remaja, tak perlu tunggu umur sekolah menengah baru nak digelar remaja, asalkan dah akil baligh walau seawal mana pun.

Dalam bahasa Melayu tiada istilah yang 100% tepat bagi teenager. Yang paling hampir ertinya cuma "belasan tahun", tapi belasan tahun itu dikira golongan mulai 11 hingga 19 tahun, bukan mulai 13. Istilah Inggeris yang nyata tepat sekali untuk "remaja" ialah adolescent, atau bentuk kata namanya adolescence yang ditakrifkan sebagai "The period of physical and psychological development from the onset of puberty to maturity" (Jangka masa perkembangan jasmani dan fisiologi dari awal baligh hingga kedewasaan) oleh the American Heritage Dictionary of the English Language. Tapi dalam amalan penterjemahan, kita lebih senang terjemahkan teenager sebagai remaja, senang orang nak faham walaupun berlainan kefahaman.

Seseorang budak belum 13 tahun boleh dianggap adolescent atau remaja asalkan dah baligh, tapi budak 15 tahun mungkin kurang sesuai digelar sedemikian seandainya dia masih tidak menunjukkan tanda-tanda baligh yang ketara. (Terfikir pula pasal Justin Bieber yang suaranya keanak-anakan sewaktu beliau memulakan kerjayanya sebagai penyanyi sukaramai - memang teen, memang teen idol tapi bukan remaja!)



Masyarakat yang pelbagai bahasa juga berlainan tanggapan tentang mulanya umur remaja. Dalam rumpun bahasa keturunan Latin (Sepanyol, Perancis, Portugis, Itali dsb.), belasan bermula pada 11. Oleh itu, golongan-golongan yang menuturi bahasa-bahasa itu boleh dikatakan menganggap 11 sebagai bermulanya usia remaja. Lagipun, menurut takrifan rasmi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), usia remaja adalah antara 10 hingga 19 tahun.

Harus ditekankan, bukan semua kanak-kanak baligh pada umur yang sama. Ada yang baligh awal, ada yang baligh lewat (sama kes Justin Bieber). Bak kata seorang pengguna Internet, "Not all teenagers are adolescents and not all adolescents are teenagers." Dan biasanya tanda awal baligh bukan tumbuh payu dara, pecah suara atau lain-lain tanda ketara, tapi (ini malu sikit) ketumbuhan bulu ari-ari dekat alat kelamin.

Tak kira apa pun kefahaman kita tentang remaja, atau tahun mana bermulanya sesebuah abad, kita boleh mengatakan tanpa was-was lagi bahawa "abad ke-21 sudah meningkat remaja" walaupun abad itu bukan makhluk hidup yang mengalami baligh. Kalau dikira abad ke-21 adalah mulai 2000, maka 2012 adalah tahun ke-13. Betul tak?

Khamis, 2 Ogos 2012

Komentar: Perjuangan untuk bahasa Melayu: Nasionalisme bahasa atau Nasionalisme etnik?

Sejak membuka blog ini, saya sangat ingin menulis catatan tentang satu fenomena yang membimbangkan, apabila wujudnya mereka yang bergelar pejuang bahasa tetapi melaungkan gesaan yang tidak membina kepada bahasa Malaysia, tetapi akhir-akhir ini berdepan dengan kesibukan bekerja serta kebimbangan akan ancaman terhadap kebebasan bersuara di ruang siber.

Namun, setelah membaca rencana yang ditulis oleh seorang profesor tempatan yang terkenal ini, saya tidak tertahan untuk mengulas sedikit tentang sikap rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama terhadap bahasa kebangsaan; makin buruk sikap itu, makin susahlah kerjaya saya sebagai penterjemah sari kata!

KEMASKINI: Memandangkan portal berita di mana asalnya rencana itu (Merdeka Review) bakal ditutup operasinya, saya mengambil langkah drastik untuk menyalin seluruh rencana itu ke dalam blog ini.

Perjuangan untuk bahasa Melayu: Nasionalisme bahasa atau Nasionalisme etnik?
 
Wong Chin Huat | Aug 02, 2012 11:50:53 am
Sesetengah pihak yang menggelar diri mereka sebagai pejuang bahasa Melayu kebelakangan ini menggesa agar kebebasan berbahasa rakyat Malaysia disekat agar bahasa Malayu dapat diagungkan. 

Mentaliti mereka ini berparadigmakan dasar perlindungan (protectionism) bahasa.  Ini bukan sesuatu yang baru.  Di dunia Barat, Perancis adalah salah sebuah negara yang asyik sangat untuk melindungi bahasanya daripada ancaman bahasa Inggeris. 

Seperti dalam dunia ekonomi, apabila sesuatu itu perlu dilindungi, ia pastinya sesuatu yang lemah.

Bahasa Perancis tidak perlu perlindungan 200 tahun yang dahulu apabila ia adalah bahasa teragung di Eropah.  Kuasa-kuasa pesaing Perancis seperti Jerman, Australia dan Rusia menggunakan bahasa Perancis di istana mereka. 

Bahasa Inggeris hari ini juga tidak menerima perlindungan daripada United Kingdom, Amerika Syarikat ataupun mana-mana negara Komanwel.  Sebagai bahasa yang paling berleluasa dituturi di dunia, Bahasa Inggeris hari ini lebih dipertuturkan sebagai bahasa asing daripada bahasa ibunda. 

Kerana ini, bahasa Inggeris menyerap kosa-kata dan pengaruh daripada bahasa lain dengan kadar yang tinggi, sehingga bahasa Inggeris yang ditutur di pelbagai perusuk dunia itu semakin berbeza daripada bahasa klasik yang digunakan oleh Shakespeare, Yeats atau Charles Dickens.

Kalau dulu ada orang yang percaya bahawa seseorang yang bukan Inggeris boleh diinggeriskan dengan pendidikan bahasa Inggeris, kepercayaan ini langsung tidak berasas dalam era globalisasi ini.  Kebanyakan penutur bahasa Inggeris hari ini tidak berhajat untuk menjadi orang Inggeris.  Bahasa Inggeris menentukan daya saing mereka, bukan jati diri. 
Perkara yang sama akan berlaku kepada bahasa Cina.  Penutur bahasa Cina sebagai bahasa asing semakin meningkat lantaran kebangkitan ekonomi negara China, sungguhpun ia mungkin mengambil masa sekurun sebelum ia mencapai kedudukan seperti bahasa Inggeris, di mana lebih penuturnya menuturinya sebagai bahasa asing daripada bahasa ibunda. 
Di Malaysia sekalipun, semakin ramai budak bukan keturunan Cina yang bersekolah Cina, mencapai kira-kira 11% dalam murid sekolah rendah jenis kebangsaan bahasa Cina, mengikut data terkini, berbanding dengan cuma 7% murid sekolah rendah kebangsaan yang berketurunan bukan Bumiputera. 
Persoalan yang para pejuang bahasa Melayu perlu membuat suatu ketetapan ialah sama ada bahasa Melayu harus diperjuangkan supaya ia berkembang seperti mana bahasa Inggeris dan bahasa Cina melampaui batasan keturunan malahan tamadun?  Ataupun, bahasa Melayu harus dipertahankan seperti bahasa Perancis yang semakin merosot keagungannya? 
Ini suatu pilihan yang cukup besar yang tidak boleh dielakkan lagi oleh semua penutur dan pencinta bahasa Melayu.  Sudah tiba masanya untuk kita semua berterus-terang dan tidak bermain kata. 
Apakah bahasa Melayu itu harus diperjuangkan demi nilai intrinsiknya, yakni sebagai bahasa?  Ataupun bahasa Melayu itu harus diperjuangkan demi nilai ekstrinsiknya, yakni sebagai alat untuk memajukan kaum Melayu?  
Perjuangan pertama ialah nasionalisme bahasa, sementara perjuangan kedua ialah nasionalisme ethnic (kaum).  Bertentangan dengan keinginan subjektif ramai orang, kedua-dua perjuangan ini tidak sentiasa berkawan, sebaliknya mungkin berlawan.
Kalau tujuannya untuk mengagungkan sesuatu bahasa itu, maka insentif maksima harus diberikan kepada semua rakyat untuk bukan sahaja bertutur dalam bahasa itu, tetapi juga menambahkayakan ilmu pengetahuan dalam dan melalui bahasa itu. 
Jika dasar ini cukup berjaya, kaum bukan penutur asal mungkin lebih fasih menutur bahasa itu daripada kaum penutur asal sehingga menerima paling banyak insentif dasar bahasa.  
Ini sebenarnya berlaku di Malaysia di bawah Dasar Ekonomi Baru, yakni selepas dominasi kaum Melayu ditetapkan selepas rusuhan 13 Mei dan sebelum tamatnya Era Perang Dingin yang membawa liberalisasi ke seluruh dunia. 
Dalam masa dua dekad itu, ramai anak-anak bukan Melayu bersungguh-sungguh belajar bahasa Melayu demi berjaya dalam sistem pendidikan kebangsaan yang berorientasikan bahasa Melayu. 
Sekiranya kefasihan bahasa akan memberikan mereka peluang kerjaya yang lebih baik, seperti mana kefasihan dalam bahasa Inggeris, sudah pasti sekolah kebangsaan akan menjadi semakin popular dan sekolah-sekolah bahasa ibunda akan merosot. 
Akan tetapi, kerana orang bukan Melayu tetap diberi layanan kelas kedua sebagai Bukan Bumiputera sekalipun jika mereka lebih fasih berbahasa Melayu daripada orang Melayu, insentif untuk orang bukan Melayu menguasai dan menggunakan bahasa Melayu adalah minima.  Inilah percanggahan keutamaan di antara nasionalisme bahasa dan nasionalisme kaum.
Ini menjelaskan mengapa peratusan anak Cina yang pergi ke sekolah rendah Cina memecut dari lebih kurang 70% pada awal perlaksanaan DEB ke hampir 90% pada dekad 1990-an.
Hakikat ini mungkin mengecewakan sesetengah orang Melayu: mengapa orang Cina di Indonesia dan Negara Thai sanggup diasimilasikan sepenuhnya tetapi orang Cina di Malaysia degil mempertahankan jati diri mereka? 
Jawapannya ringkas sahaja.  Di Negara Thai, dasar nasionalisme budayanya bermakna sesiapa yang sanggup diasimilasikan sepenuhnya tidak akan menghadapi apa-apa diskriminasi.  Ini menjelaskan mengapa orang Cina Thai yang kebanyakannya beragama Buddha dengan mudahnya menerima asimilasi sebaliknya orang Melayu Thai yang berlainan agama dengan kaum majoriti merasai peminggiran dan ramai bangkit menentang. 
Kalau orang Melayu sanggup mengikut contoh negara Thai (dalam konteks asimilasi bahasa sahaja) dalam tahun-tahun DEB (1971-1990), ramai orang bukan Melayu juga akan bersetuju menerima asimilasi sebagai syarat untuk kesamarataan sepenuh.  Pokoknya, apakah orang Melayu sanggup menerima syarat sebegitu?  Hari ini, dengan globalisasi, asimilasi sepenuhnya sudah lenyap sebagai sebuah opsyen dasar. 
Mungkin ada yang tertanya: bagaimana pula di Indonesia?  Orang Cina Indonesia menerima asimilasi sungguhpun mereka tetap didiskriminasi pada zaman Order Baru?  
Jawapannya juga ringkas.  Orang Cina cuma merangkumi kira-kira 3% daripada penduduk Indonesia, mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menentang polisi kerajaan, ini terutamanya selepas pembunuhan besar-besaran orang komunis dan kaum Cina pada tahun 1965. 
Dalam erti kata lain, apabila kaum majoriti mempunyai kuasa mutlak, ia menjadi rasional untuk kaum minoriti menerima asimilasi dan diskriminasi pada masa yang sama, kerana alternatifnya - penentangan - kebarangkalian besar cuma akan membawa maut.
Sekali lagi, kaedah ini cuma mungkin berjaya semasa Perang Dingin kerana keganasan politik sebagai alat pihak kerajaan untuk mencapai matlamat politiknya tidak akan ditoleransi oleh dunia hari ini. 
Dengan ketibaan Era Globalisasi, paksaan termasuk asimilasi sudah pasti menerima kegagalan.  Sekalipun bahasa Melayu dipaksakan ke atas semua rakyat, bahasa Melayu tidak akan maju di dalam negeri selagi kita tidak menutup pintu daripada dunia dan menjadi Korea Utara kedua.
Ini adalah sebab pejuang-pejuang bahasa harus memikir semula apakah sebenar perjuangan yang diingini? 
Kalau untuk berjuang demi kaum penutur asal, yakni orang Melayu, pengagungan bahasa melalui paksaan - dan bukan peningkatan keupayaan bahasa itu - mungkin lebih memudaratkan daripada menguntungkan bukan sahaja seluruh rakyat, tetapi juga orang Melayu sendiri. 
Sudah nyata, sikap authoritarian dalam bahasa Melayu akan menyebabkan anak-anak Melayu kurang berminat mempelajari bahasa lain dan akhirnya mereka akan kurang berdaya saing di arena antarabangsa.  Malahan, kita mungkin kehilangan lebih bakat-bakat yang tidak percaya dengan dasar eka-bahasa, termasuk bakat orang Melayu sendiri. 
Kalau kita ingin membangunkan penutur asal bahasa Melayu, yakni orang Melayu, maka kita kena cari cara yang lebih berkesan.
Kalau perjuangan adalah benar-benar untuk memajukan bahasa tinggalan nenek-moyang, maka bahasa Melayu mesti disebarkan ke khalayak orang bukan Melayu malah di luar sempadan Malaysia atau negara-negara Nusantara. 
Daripada segi ini, ada baiknya bagi pejuang-pejuang bahasa mengimbas kembali sejarah kebangkitan bahasa Melayu.
Sememangnya kebangkitan awalnya mungkin terhutang budi kepada penutur asalnya di kawasan Palembang-Jambi, yang membina Empayar Sri Vijaya, akan tetapi, kejayaan seterusnya tidak dapat dijelaskan dengan kuasa politik. 
Mengapa bahasa Melayu tetap menjadi lingua franca di Nusantara di bawah Empayar Majapahit yang rajanya berbahasa-asalkan Jawa?  Kuasa SriVijaya pada zaman keagunganya juga tidak merangkumi Kepulauan Maluku dan Kepulauan Nusatenggara yang tetap menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa "antarabangsa" dalam urusan dengan penduduk dari pulau lain. 
Perkara ini berulang pada 1928 apabila golongan nasionalis muda memilih untuk menjunjung bahasa Melayu (namanya bahasa Indonesia) dan bukan bahasa majoriti (yakni bahasa Jawa) sebagai bahasa kebangsaan.  Mengapa pemimpin-pemimpin revolusi keturunan Jawa tidak meletakkan bahasa sendiri sebagai bahasa perpaduan?
Ini sudah tentu berkenaan dengan ciri-ciri bahasa Melayu sebagai bahasa.  Ia ringkas, mudah dipelajari tetapi juga kurang feudalistik daripada bahasa Jawa. 
Dalam memperjuangkan bahasa Melayu, kita mesti mempertingkatkan kegunaan bahasa.  Dan apakah musuh paling besar kepada bahasa Melayu itu?  Bukan kebebasan bahasa lain untuk digunakan, tetapi sekatan ke atas penggunaan bahasa Melayu itu sendiri.
Tanyalah kita sendiri: apakah rasionalnya kalau edisi asal bahasa Inggeris "The Origin of Species" oleh Charles Darwin itu boleh didapati di kedai buku dan perpustakaan tetapi penterjemahan buku itu dalam bahasa Indonesia itu diharamkan?  Apakah bahasa Melayu dapat berjaya jika disekat daripada membawa ilmu pengetahuan yang tidak disukai oleh sesetengah pihak? 
Usaha sesetengah pihak yang cuma mengIslamkan bahasa Melayu - yakni menjadikan ia sejenis bahasa yang hanya boleh membawa pengetahuan yang sesuai dengan Islam dan oleh itu tidak boleh digunakan oleh penganut agama-agama bukan Islam untuk tujuan agama - itu sebenarnya sedang cuma melemahkan dan melesukan bahasa itu sahaja. 
Kalau orang bukan Islam di Malaysia pun tidak dibenarkan menggunakan bahasa kebangsaan untuk tujuan keagamaannya, apakah peluang bahasa Melayu boleh maju di luar Malaysia, Brunei dan Singapura.  Sebenarnya, kalau kita bandingkan bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia, bahasa Indonesia jauh lebih dinamika kerana pelbagai isu boleh dibincangkan dalam bahasa itu dan usaha-usaha penterjemahan itu tidak berhenti. 
Di Malaysia, ramai tokoh-tokoh intelektual dan golongan kelas pertengahan yang kosmopolitan pandangan cuma menggunakan bahasa Inggeris untuk berhujah dan bahasa Melayu seolah-olah sudah menjadi bahasa yang cuma sesuai untuk mencetak Utusan Malaysia.
Dalam kata lain, bahasa Melayu menjadi lesu dalam dunia intelektual, tidak setanding dengan saudaranya bahasa Indonesia, janganlah lagi jika dibandingkan dengan bahasa Inggeris, Cina, Jepun dan sebagainya.
Saya amat sedih sekali apabila membaca berita bahawa ada golongan yang menggelar diri mereka sebagai penulis yang menyokong pengharaman buku dan penyekatan kebebasan.  Manakah keindahan bahasa jika kita tidak berkebebasan untuk berfikir?
Dan kalau inilah pejuangnya, perlukah lagi musuh untuk bahasa Melayu? 
*Dr.Wong Chin Huat adalah seorang pencinta bahasa Melayu bukan nasionalis.  Beliau cintakan bahasa kerana keindahannya dan kesal tidak ada peluang menggunakan bahasa Melayu untuk tujuan romantik.
Boleh dirumuskan, hujah-hujah yang dikemukan oleh profesor ini sudah pasti disetujui oleh rakyat Malaysia yang berpemikiran terbuka, khususnya dalam soal perbandingan dengan negara jiran serta kebebasan membincangkan pelbagai isu. Akan tetapi, ia masih juga boleh dibahaskan asalkan pemikiran waras.

Misalnya, sikap bukan Melayu terhadap bahasa kebangsaan, terutamanya kaum Cina. Saya tengok kaum India dan bumiputera Sabah dan Sarawak lebih terbuka menerima bahasa kebangsaan walaupun berdepan dengan diskriminasi. Baru saya teringat, sejarah masyarakat Cina di Asia Tenggara penuh saat-saat getir yang mana mereka berdepan dengan ancaman besar terhadap jati diri dan budaya mereka pada abad ke-20.

Dasar asimilasi paksaan oleh negara-negara jiran Malaysia serta kelemahan ekonomi China yang ketika itu merana dalam Revolusi Kebudayaan, membuat masyarakat Cina di Malaysia amat gelisah akan masa depan kebudayaan Cina di negara-negara bebas. Ditambah lagi dengan pergolakan politik perkauman 13 Mei 1969 dan dasar-dasar yang dirasakan memberati kaum Melayu sepanjang suku akhir abad ke-20, ini membuat mereka lebih keras memperjuangkan kelestarian bahasa ibunda mereka di Malaysia sehingga mereka agak liat untuk menerima bahasa kebangsaan dalam jiwa mereka selaku rakyat Malaysia.

Oleh itu, bukan salah masyarakat Cina sendiri kerana mereka tidak ikhlas menyetujui bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, padahal yang tidak menunjukkan sikap yang betul rata-rata segelintir pihak di kalangan penutur asli bahasa Melayu, baik pemerintah dan pelampau yang menggesa sekatan ke atas kebebasan ekspresi, mahupun rakyat biasa Melayu yang cenderung mencampur-aduk bahasa sendiri dengan bahasa asing tanpa terkawal.

Berkenaan perihal kurangnya kebebasan membincangkan isu berkenaan agama selain Islam, serta ilmu-ilmu yang 'bercanggah' dengan ajaran Islam, boleh saya katakan bahawa Dr. MAZA mesti setuju dengan kenyataan-kenyataan itu kerana beliau antara sebilangan kecil ilmuwan Islam tempatan yang bersikap lebih terbuka dan lebih luas ilmu dunia. Tetapi, di Internet ini rasanya ada satu tempat yang selamat untuk mengembangkan fakta-fakta berkenaan agama selain Islam dalam bahasa Melayu: Wikipedia bahasa Melayu! Rencana tentang kritikan terhadap Islam di sana juga nampak gayanya tidak diusik (walaupun tidak diterjemahkan selengkapnya dari bahasa Inggeris).

Apapun, masalah yang didepani oleh Wikipedia bahasa Melayu dari segi mutu isi kandungannya juga boleh dikatakan berpunca daripada suasana sosial 'golongan maju' Malaysia yang agak membataskan pengembangan ilmu dalam bahasa Melayu. Apa kata Profesor menjadikan penterjemahan rencana Wikipedia sebagai hobi, barulah rancak sikit.

Ampun maaf dipinta buat yang tersinggung, saya terpaksa meluahkan isi hati dengan jujur. Apapun, saya juga telah cuba sedaya upaya memperhalusi isi catatan blog ini demi mengelak kata-kata yang boleh mengundang pertikaian dan kemarahan, apalagi pada bulan Ramadan serta menjelang Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan.